Wednesday, September 4, 2019

SURAH AL 'ALAQ


ASBABUN NUZUL SURAH AL-'ALAQ 1-5

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata bahawa permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah mimpi yang baik pada waktu tidur. Biasanya mimpi yang dilihat itu jelas, sebagaimana cuaca dipagi hari. Kemudian, timbullah pada diri beliau keinginan meninggalkan keramaian. Untuk itu beliau pergi ke Gua Hira untuk berkhalwat. Beliau melakukannya beberapa hari. Khadijah sang isteri beliau menyediakan beberapa perbekalan untuk beliau selama di Gua Hira.
Jalan menuju ke Gua Hira dimana tempat Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama
Pada suatu ketika, datanglah malaikat Jibril kepada beliau, malaikat itu berkata, "Iqra' (bacalah)!" Beliau menjawab "Aku tidak pandai membaca." Malaikat itu pun mendakap beliau sehingga beliau merasa kepayahan. Kemudian malaikat itu kembali berkata, "Bacalah!" Beliau menjawab lagi "Aku tidak pandai membaca." Setelah tiga kali beliau menjawab seperti itu, malaikat membacakan surah Al-'Alaq ayat 1-5.
Setelah selesai membacakan kelima ayat tersebut, malaikat Jibril pun menghilang. Tinggallah beliau seorang diri dengan perasaan takut. Beliau terus segera pulang menemui isterinya, Khadijah.

Beliau kelihatan gugup sambil berkata, "Zammiluni, zammiluni (selimutkan aku, selimutkan aku)." Setelah hilang rasa takut dan kedinginannya itu, Khadijah meminta beliau untuk menjelaskan kejadian yang dialami olehnya. Setelah mendengar kisah yang dialami beliau, Khadijah berkata kepada Rasulullah SAW, "Demi Allah, Allah tidak akan mengecewakanmu selama-lamanya. Engkau adalah orang yang suka menghubungkan kasih sayang, ikut membawakan dan meringankan beban orang lain, memberi makan orang miskin, menjamu tamu dan menolong orang yang menegakkan kebenaran.....!"

Khadijah segera mengajak Rasulullah untuk menemui Waraqah bin Naufal, pakcik kepada Khadijah yang saat itu usianya telah sangat lanjut dan matanya telah buta. Dia adalah salah seorang pendita Nasrani yang sangat faham dengan Kitab Injil. Setelah bertemu dengannya, Khadijah meminta Rasulullah SAW untuk menjelaskan kejadian yang dialaminya malam tadi.

Setelah Rasulullah SAW selesai menjelaskan pengalamannya yang berlaku, Waraqah berkata,"Inilah sebuah utusan, sebagaimana Allah SWT pernah mengutuskan kepada Nabi Musa as. Semoga aku masih dikurniakan hidup sampai saatnya engkau diusir dari kaum mu." Rasulullah SAW pun bertanya, " Apakah mereka akan mengusir aku?" Waraqah menjawab, "Benar! Belum pernah ada seorang nabi yang diberikan wahyu seperti engkau, yang tidak dimusuhi orang. Apabila aku masih mendapati engkau, pasti aku akan menolong engkau sekuat-kuatnya." (HR Al-Bukhari, Bada'ul Wahyi No.3)

Nabi Muhammad SAW amat terkejut mendengar penuturan Waraqah, terutama sekali ucapan yang menyatakan bahawa beliau akan diusir oleh kaumnya sebab beliau mengetahui betul bagaimana kedudukannya di tengah-tengah kaum Quraisy yang selalu memanggilnya dengan sebutan Al-Amin. Bukankah hal itu sendiri sebetulnya sudah menunjukkan betapa mulianya Muhammad dihadapan kaum Quraisy, dan betapa besar kepercayaan mereka kepada beliau?

Maka dengan rasa hairan, Nabi Muhammad SAW bertanya kepada Waraqah :
"Apa mereka benar-benar akan mengusir aku?"
Dengan tegas Waraqah menjawab :
"Benar, tidak ada seorang pun dengan membawa ajaran seperti yang engkau bawa melainkan ia pasti dimusuhi dan diperangi oleh manusia yang ramai."

Lalu Waraqah mengutara angan-angannya kepada suami sepupu itu. Seandainya ia masih muda, tentu ia akan mendampingi Muhammad menyebarkan risalahnya. Namun sayang, usianya ketika itu sudah sangat tua dan tidak lama setelah itu ia wafat.

Sebahagian orang ketika itu ada yang meragukan "keislaman" Waraqah, namun Rasulullah SAW menyanggah keraguan mereka dan bersabda :
"Janganlah kalian mencela Waraqah, kerana aku pernah melihatnya memiliki sebuah kebun atau dua buah di Syurga." [HR Al-Hakim - Lihat Al-Ahaditsush-Shahihah oleh As-Syaikh Al-Albani jilid no.405]

Kembali ke awal kisah. Setelah mendapat penjelasan dari Waraqah, Nabi Muhammad SAW pulang dengan perasaan tenang ke rumahnya bersama Khadijah. Telah jelas bagi beliau, bahawa yang datang padanya itu adalah wahyu dari Allah dan beliau yakin seraya berharap wahyu itu akan segera datang lagi kepadanya.

Tetapi tidak seperti yang diharapkan, ternyata wahyu berikutnya tertunda untuk waktu yang cukup lama, sehingga membuatnya kembali merasa tidak tenang. Pada dasarnya, nabi Muhammad sangat tidak suka dengan penyair dan syair-syairnya. ketika wahyu pertama tersebut terputus seakan tidak ada kelanjutannya, beliau berfikir jangan-jangan itu sekadar syair semata, sebagaimana syair-syair yang disenandungkan oleh kaum Quraisy, dan hal itu menyebabkan beliau sangat gelisah. 

Dalam puncak kegelisahan tersebut, beliau ingin mati saja dengan menerjunkan diri dari puncak gunung yang tinggi. Beliau mendaki sebuah gunung, tetapi belum jauh mendaki, tiba-tiba terdengar suara dari langit,
"Wahai Muhammad, engkau adalah Rasul Allah dan aku adalah Jibril......!!"
Beliau mendongakkan kepala ke langit dan di sana beliau melihat Jibril dalam rupa seorang lelaki dengan wajah yang sangat berseri, kedua kakinya menapak di ufuk langit. Sekali lagi Jibril berkata,
"Wahai Muhammad, engkau adalah Rasul Allah, dan aku adalah Jibril...!!"

Nabi Muhammad hanya terdiam dalam kebingungan, kaki beliau seakan terpaku ke bumi, tidak mampu bergerak maju ataupun mundur. Setiap kali beliau berpaling ke arah langit yang lain, sosok Jibril tersebut telah ada disana dengan tersenyum kepada beliau. Peristiwa tersebut berlangsung beberapa waktu (jam) lamanya, setelah Malaikat Jibril telah benar-benar lenyap (pergi) dari ufuk langit, barulah beliau mampu menggerakkan kaki beliau segera pulang ke Makkah.

Sementara itu di Makkah, Khadijah merasa kehilangan Nabi Muhammad. ia mengutuskan beberapa orang untuk mencari keberdaan beliau di Makkah dan sekitarnya tetapi mereka tidak menemui beliau. Setelah para pencari tersebut pulang dengan tangan yang hampa dan kembali ke rumah masing-masing, barulah Nabi Muhammad sampai ke rumah dan beliau terus duduk di paha Khadijah dan bersandar kepada isteri tercinta tersebut. Khadijah berkata,
"Dari mana saja engkau , wahai Abu Qasim? Sungguh aku telah mengirim beberapa orang untuk mencarimu ke Makkah dan sekitarnya, tetapi mereka pulang dengan hampa..!"
Nabi Muhammad menceritakan peristiwa yang dialaminya dengan lengkap. Setelah Nabi Muhammad tertidur kerana keletihan, Khadijah segera bertemu Waraqah dan menceritakan pengalaman Nabi Muhammad tersebut. Dengan gembira Waraqah berkata,

"Mahasuci, Mahasuci, demi jiwa Waraqah yang ada di Tangan-Nya, Jibril yang pernah datang kepada musa kini benar-benar telah datang kepadanya (lagi) dia (Muhammad) adalah sebenar-benar nabi umat ini..!! Katakan kepadanya agar ia berteguh hati...!!
Khadijah segera kembali ke rumah. Setelah Nabi Muhammad bangun dari tidurnya, Khadijah berkata,
"Bergembiralah anak pakcikku dan teguhkanlah hatimu. Demi diri Khadijah yang berada di Tangan-Nya, aku benar-benar berharap engkau akan menjadi nabi dari umat ini...!!"

Sejak itulah hati Rasulullah SAW benar-benar mantap, bahawa wahyu memang datang dari Allah SWT dan bahawasanya Allah telah memilihnya untuk membawa agama langit kepada umat manusia dan mengembalikan agama-agama langit yang dibawa oleh para utusan sebelumnya yang telah dikotori oleh tangan-tangan manusia kepada keasliannya.

AYAT 1

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk),

TAFSIRAN AYAT

Ini adalah salah satu surah-surah yang dimulai dengan kata suruhan. Allah arahkan kita 'baca' dalam surah. Berisi perintah untuk belajar, menuntut ilmu. perintah yang dimaksudkan dalam ayat ini bersifat umum, tidak tertuju pada ilmu tertentu sahaja. Dengan demikian, kewajiban untuk menuntut ilmu meliputi ilmu yang bersangkutan dengan ayat-ayat qauliyah dan ayat-ayat kauniyah.
Ayat-ayat qauliyah ialah tanda kebesaran Allah SWT yang berupa keadaan alam semesta. Baik ayat-ayat qauliyah mahupun kauniyah, wajib kita pelajari. Ayat-ayat qauliyah wajib dipelajari kerana menjadi pedoman hidup kita menuju hidup yang diredhai Allah SWT. Keimanan kita akan bertambah dengan mempelajari ayat-ayat kauniyah. Lebih dari 60%, ayat-ayat Al-Quran membicarakan tentang alam semesta. Adapun yang 40%, ayat-ayat tersebut membicarakan tentang pelbagai masalah.

Perhatikanlah kalimah pertama yang Allah berikan kepada manusia dari dalam Al-Quran. Dan kenanglah waktu itu bagaimana keadaannya. Ia diberikan kepada golongan manusia yang waktu itu kebanyakan dari mereka tidak tahu membaca pun. Tapi tidak lama selepas itu, dengan menggunakan Al-Quran yang disebarluaskan dalam beberapa tahun selepas itu, masyarakat yang tidak tahu membaca itu menjadi masyarakat yang berilmu tinggi, sampaiakan tamadun lain terpaksa datang dan belajar dengan mereka.

KENAPA IQRA WAHYU PERTAMA

Sebagai hamba Nya yang bertaqwa, kita harus menggali hikmah disebalik potongan surah pertama yang diturunkan i bumi ini. Mengapa ayat ini dipilih oleh Allah untuk menjadi ayat awal kepada pengenalan Islam untuk masyarakat? Sedangkan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran lain yang mengajak umatnya ke jalan yang diredhai Allah seperti menunaikan solat (Surah Hud :114), bersedekah jariah (Surah Al-Baqarah : 254), serta berbuat baik dan mencegah kemungkaran (Surah Al-Qasas :17).

Dan seperkara lagi, Allah memilih untuk Rasulullah menyampaikan kepada manusia akan tuntutan membaca dan tuntutan ilmu padahal baginda sendiri tidak tahu menulis dan membaca ketika itu. Jika Allah mahukan, Rasulullah boleh menyalurkan dakwah di Kota Makkah berdasarkan sifat-sifat terpuji yang ada padanya. Namun, Allah telah menetapkan bahawa pelajaran lebih berkesan bagi membina peradaban manusia dan sekaligus membangunkan ummah. sAllah juga menurunkan ayat ini sebagai motivasi buat menimba ilmu. Sedangkan Rasulullah juga perlu berusaha berulangkali untuk membaca wahyu tersebut apabila diminta oleh Jibril sehingga lancar.

APA YANG DISURUH BACA OLEH JIBRIL?

Kita sudah lama tahu wahyu pertama adalah 'Iqra". namun pernahkah kita terfikir, apakah yang disuruh BACA oleh Jibril? ada yang mengatakan perintah itu adalah BACA al-Quran. Sudahkah al -Quran dibukukan pada waktu turunnya wahyu ini? Apa yang ada di dalam Gua Hira' itu sehingga Jibril menyuruh Nabi Muhammad SAW membaca? Ada pula yang mengatakan Baginda buta huruf kerana tidak tahu membaca apabila Jibril menyuruh Baginda baca. Huruf apa pula yang Jibril suruh baca? Ada kertas yang bertuliskah di dalam Gua itu?

Jika kita seharusnya perlu berfikir akan persoalan-persoalan yang dilontarkan di atas. Saya mengajar berfikir. Berfikir untuk menambahkan keyakinan tentang apa yang "diturunkan " kepada kita. Jadi berbalik kepada persoalan diatas, perintah yang disuruh adalah BACA. Baca tentulah kepada TULISAN. Membaca suatu tulisan. Bukan pada warna atau nombor. kalau pada warna, perintah Nya adalah LIHAT. Kalau nombor pula, perintah Nya tentu KIRA. Jadi suatu tulisan itu perintahnya adalah BACA. Dalam bahasa Arab, tulis bermaksud "kataba". Tulisan pula bermaksud "Kitab". Jadi perintah "iqra" itu tentulah perintah membaca "al-Kitab". Al-Kitab yang mana pula? Tentulah al-Kitab yang terkandung di dalam Rukun Iman.

Rukun Iman itu adalah "perkara ghaib". Tidak boleh digambarkan, tidak berhuruf, tidak bersuara dan tidak berbunyi. Maka termasuklah "al-Kitab" itu. Ia juga adalah perkara ghaib. Maka al-Kitab yang disuruh BACA oleh Jibril adalah al-Kitab yang ghaib, tidak berhuruf, tidak berbunyi dan tidak bersuara. Atas sebab itulah Baginda SAW tidak tahu "membacanya" kerana al-Kitab itu ghaib. Bukan kerana Baginda tidak tahu membaca, lantas Jibril mengajarkan Baginda "membaca".

LANJUTAN KE AYAT BERIKUTNYA

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan"

Menciptakan apa?

"Yang menciptakan AL-INSAN dari ALAQ"

Kita berhenti dahulu setakat ini. Kita diperintahkan membaca bersama-sama dengan "nama Tuhan." Nama Tuhan itu ada 99. Nama yang mana satu? Dilanjutkan bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan. Iaitu al-Khaliq. Maha Pencipta. Menciptakan apa pula? Menciptakan al-Insan.






AYAT 2

Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

TAFSIRAN AYAT

Allah SWT menyatakan bahawa manusia adalah makhluk yang diciptakan dari segumpal darah. Allah SWT menegaskan bahawa manusia diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan (QS At-Tiin 95:4)

Ayat ini juga memberi petunjuk kepada manusia untuk mengenal dirinya secara jelas iaitu mengetahui asal usul kejadiannya.

ASAL USUL KEJADIAN MANUSIA

Untuk mengetahui secara terperinci asal usul kejadian manusia, Allah SWT berfirman dalam surah QS al-Mu'minun (23:12-14)
Dari ayat tersebut, kita dapat mengetahui bahawa manusia terjadi melalui beberapa proses:

  • Penciptaan manusia dimulai dari sari pati tanah. Sari pati tanah itu kemudian manjadi bahan makanan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dari tumbuhan dan haiwan inilah manusia memperolehi makanan. Bagi kaum lelaki, hasil dari makanan tersebut akan menghasilkan sperma manakala bagi wanita pula akan menjadi sel telur. Apabila persenyawaan berlaku iaitu pencantuaman antara sperma dan sel telur, maka terbentuklah nutfah (zigot) pada rahim perempuan.
  • Proses berikutnya, zigot tersebut menjadi 'alaqah (segumpal darah yang menempel) di dinding rahim perempuan. Proses ini berlaku selama 40 hari.
  • Pada 40 hari berikutnya, 'alaqah (segumpal darah yang menempel) di dinding rahim perempuan berubah menjadi lahma (sekepal daging).
  • Pada 40 hari berikutnya, sekepal daging itu berubah menjadi tulang (bakal kerangka janin) yang kemudian dibungkus dengan daging. Setelah itu Allah SWT menjadikannya bentuk lain iaitu janin.

AYAT 3

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,-

TAFSIRAN AYAT

Terdapat dua pengertian pokok iaitu perintah untuk membaca sebagai penegasan Allah SWT yang Maha Mulia. Oleh kerana itu, Islam mendidik umatnya agar menjadi umat yang pandai sehingga mampu memahami ayat-ayat qauliyah dan kauniyah.

AYAT 4

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,-

TAFSIRAN AYAT

Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mengajarkan manusia dengan pena. Pena merupakan sebuah benda mati dan beku. Namun setelah digunakan oleh manusia mampu difahami oleh orang lain. dengan pena juga manusia mampu mencatat segala ilmu pengetahuan yang diperolehi.


AYAT 5

Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

TAFSIRAN AYAT


Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mengajarkan manusia dari apa yang tidak diketahuinya. Manusia lahir ke dunia ini dalam keadaan tidak tahui sesuatu pun. Manusia lahir ke dunia dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. kemudian Allah SWT menganugerahkan pendengaran dan penglihatan agar memudahkan manusia untuk belajar dan menuntut ilmu sebanyak-banyaknya.

AYAT 6

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),

AYAT 7

Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

AYAT 8

(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk terima balasan).

AYAT 9

Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang)-

AYAT 10

Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?

AYAT 11

Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul?

AYAT 12

Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?

AYAT 13

Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar?

AYAT 14

Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?

AYAT 15

Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti ( dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka),

AYAT 16

Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.

AYAT 17

Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),

AYAT 18

Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!

AYAT 19

Ingatlah! Jangan engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampinglah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!